Apabila Pernikahan itu Didirikan Atas Cita-Cita islam

Apabila suami isteri itu membangunkan rumah tangga atas cita-cita Islam maka sudah tentu pergaulan keduanya mengikut ajaran Islam. Bagaimana tanggungjawab suami terhadap isteri, didikannya, makan minumnya, pakaiannya, tempat tinggalnya dan akhlaknya tentulah sesuai dengan ajaran Islam. Begitu juga layanan isteri terhadap suami, menghiburkannya, menyambut kepulangannya, tidak memberatkan suami dan merendah diri.

Mereka akan sembahyang bersama, bekerjasama dan bertolong bantu. Yang salah meminta maaf manakala yang benar memberi maaf. Kedua-dua keluarga dihormati. Suami di luar tidak memandang isteri orang atau perempuan lain. Isteri di rumah menjaga maruah diri dan mengurus keperluan suami dan anak-anak. Suami berpuas hati dengan isterinya dan isteri berasa puas dengan suaminya. Kalau ada masalah, mereka berunding, memikirkan dan cuba menyelesaikannya bersama.

Suami bertimbang rasa dengan isteri. Isteri pula tidak suka meminta-minta dengan suami. Bahkan berpuas hati dengan apa sahaja yang diberi oleh suami. Salah isteri diberi tunjuk ajar, salah suami dilupakan. Di waktu suami lemah semangat, isterilah yang memberi semangat. Di waktu isteri tidak faham, suamilah yang memberi faham. Suami tidak berkasar dengan isteri. Isteri pula senantiasa menghormati suami. Kalau suami bercakap, isteri mendengar dengan sepenuh hati. Kalau isteri bersedih, dihiburkan oleh suami. Kejahatan masing-masing tidak pernah didedahkan kecuali karena ingin meminta bantuan kepada orang-orang tertentu untuk membaikinya.

Leave a Reply