Menikah Lebih dari Hiburan

Menurut ajaran Islam, tidak salah berhibur asalkan halal. Lebih-lebih lagi ingin berhibur itu adalah fitrah alamiah manusia. Islam tidak menghalang tuntutan fitrah alami.

Di antara hiburan manusia ialah pertemuan lelaki dan perempuan atau dengan kata-kata yang lain ialah melakukan perhubungan pernikahan di antara lelaki dan perempuan. Boleh bersuka-suka, bergurau senda, melakukan hubungan jenis bahkan Islam menyuruh berbuat demikian demi membaikkan hati kedua-duanya.

Tapi perlu diingat, ia bukan matlamat hidup di dalam perkahwinan. Ia adalah sampingan dari perkahwinan. Ia akan berlaku dan terjadi dengan sendiri sama ada kita fikirkan atau tidak. Ia terikut sama di dalam menegakkan cita-cita perkahwinan. Macamlah juga kita diperintahkan belajar dengan tujuan menuntut ilmu sebanyak-banyaknya. Berilmu itu diwajibkan karena untuk mendapatkan kejayaan di dunia mahupun di Akhirat, mestilah dengan ilmu. Tidak ada ilmu, kejayaan di dua negara itu tidak akan dicapai. Apabila kita belajar, sudah tentu kita terhibur dengan ilmu itu. Kita rasa senang dengan maklumat- maklumat yang kita dapati tetapi bukanlah kita belajar itu dengan tujuan hiburan dan senang. Kita belajar dengan tujuan kita hendak memperolehi ilmu agar mendapat kejayaan dunia Akhirat dengan ilmu itu.

Jadi hiburan itu hanya sampingan. Ia terbawa sekali di dalam mengejar tujuan itu. Tapi ia bukan menjadi tujuan di dalam belajar.

Begitulah juga pernikahan itu. Tujuannya seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, tetapi apabila kita menikah, memanglah kita dapat berhibur dan berseronok sama. Kita dapat berseronok dengan isteri, isteri pun dapat berhibur dengan kita. Namun tujuan perkahwinan itu bukan untuk berhibur dan berseronok. Tujuan perkahwinan karena hendak menegakkan cita-cita Islam seperti yang telah saya senaraikan sebelum ini. Jadi berseronok itu ia terjadi dengan sendiri. Ia terikut sama di dalam menegakkan cita-cita perkahwinan. Oleh itu apabila kita mengatakan perkahwinan itu tujuannya bukan untuk berhibur dan berseronok, tidak pula artinya kita tidak boleh berseronok di antara suami isteri. Bukan begitu. Setelah bersuami isteri, berhiburlah, berseronoklah tapi itu bukan tujuannya. Ia bukan matlamat perkahwinan. Matlamat perkahwinan adalah lebih besar, lebih agung dan lebih suci yaitu untuk menegakkan cita-cita Islam. Saya harap saudara-saudari pembaca faham. Moga-moga tidak disalahfahamkan.

Leave a Reply